Sejarah Lesen televisyen

Pada zaman awal penyiaran, timbulnya masalah pembiayaan bagi perkhidmatan para penyiar. Sesetengah negara mengamalkan pengiklanan, tetapi yang lain pula menguat kuasa langganan awam wajib yang berbentuk lesen penyiaran yang dibayar oleh isirumah yang memiliki peti radio (dan lama-kelamaan, peti TV juga).

UK ialah negara pertama yang mengamalkan pembiayaan melalui langganan awam wajib yang mana wang yuran lesen disalurkan kepada BBC yang diasaskan melalui Piagam Diraja untuk menghasilkan rancangan biayaan awam sambil mengekalkan kebebasan dari pengaruh kerajaan dari segi pengurusan dan kewangan. Lesen ini pada asalnya dikenali sebagai lesen radio.

Setelah bangkitnya televisyen, ada negara yang telah mendirikan lesen televisyen tambahan yang berasingan, manakala yang lain sekadar menaikkan lesen untuk menanggung perbelanjaan siaran TV, maka bertukarnya nama "lesen radio" menjadi "lesen TV" atau "lesen penerima". Kini, kebanyakan negara membiayai siaran radio awam dari yuran lesen sama yang dimaksudkan untuk televisyen, namun ada yang masih mengekalkan lesen radio berasingan, atau mengenakan yuran lebih rendah atau tidak mengenakan apa-apa yuran bagi sesiapa yang hanya memiliki peti radio. Sesetengah negara juga mengenakan yuran berbeza kepada pemilik TV warna atau hitam putih. Ada yang memberikan diskaun atau mengecualikan sama sekali pengguna warga emas atau kurang upaya.

Berdepan dengan masalah pengelakan yuran lesen, adanya negara yang hendak membiayai penyiar awam terus dari hasil cukai atau melalui kaedah-kaedah yang lebih sukar dielak seperti bayaran bersama bil elektrik. Penyiar awam kebangsaan di sebilangan negara juga menerima iklan sebagai biayaan tambahan.